Saturday, November 15, 2008

UMNO Lipis - Lubuk Bekas Pemimpin Membuat 'Come-Back"?


Apakah UMNO Lipis persis Hang Jebat, atau terasa hebat, atau sememangnya lambat?

Setelah sekian lama saya buat-buat sebok berpolitik di Luar Negeri Pahang akhirnya pada awal tahun 2000 sirih pulang ke ganggang untuk menyebok di Negeri sendiri, di daerah sendiri, di Kampung sendiri, Kemahang here I come..

Berpolitik di kampung sendiri jauh lebih aman berbanding di negeri orang. Kalaupun ada pertandingan merebut jawatan ianya tetap harmoni, bertoleransi dan mesra tiada 'scape goating' tiada 'sky larking'. Tidak dinafikan kewujudan segelintir 'black sheep' yang menangguk di air keruh tetapi tiada ke mana haluannya. Mungkin kerana warga Lipis masih mengamalkan nilai menghormati dan memberi laluan kepada ahli yang lebih tua atau lebih berkelayakan seperti Tok Penghulu atau Tok Empat.

Itu cerita di peringkat cawangan. Berbeza sedikit ceritanya di peringkat bahagian yang lebih pandai, lebih terbuka, dan lebih sudu dari kuah, persis bahagian-bahagian yang lain di bandar-bandar kecil juga. Pertandingan merebut jawatan akan sentiasa meriah dan sengit tetapi tiadalah sampai bertikam lidah, apa lagi berbaling kerusi. Walaupun kebelakangan ini ada juga provokasi dari ahli-ahli muda tetapi ahli-ahli yang lama yang cukup matang hanya melihatnya sambil tersenyum, mungkin terdetik di hati bertanya sendiri 'Inikah bakal-bakal generasi yang akan mewarisi UMNO bahagian Lipis nanti?' Biasalah di mana-mana akan ada segelintir ahli yang mengamalkan resmi politik ketam, menarik kawan-kawannya ke atas tetapi apabila kawannya sudah di atas, akan menariknya ke bawah semula.

Keistimewaan perwakilan UMNO Bahagian Lipis yang saya lihat sejak dulu adalah pencalonan bakal-bakal pemimpin samada di peringkat bahagian mahupun di peringkat Pusat. Walaupun tidak semua tetapi UMNO Lipis acap kali memilih pemimpin yang kurang popular atau yang sudah jatuh popularitinya. Mungkin juga Lipis adalah lubuk kepada pemimpin kurang popular dan hendak memberi peluang kepada mereka atau maklumat perihal calon-calon pemimpin lambat sampai ke Lipis? Di zaman siber ini tak mungkin ahli-ahli perwakilan Lipis ketinggalan. kalau nak ambil contoh pencalonan dari dulu mungkin terlalu banyak, memadailah saya ambil contoh keputusan pemilihan baru-baru ini.

1. Timbalan Presiden UMNO - Tan Sri Mohammad Taib sedangkan majoriti UMNO bahagian di Malaysia telah memilih Tan Sri Mahyuddin Yassin. Mungkin juga untuk memberi peluang kepada Tan Sri Mike Tyson untuk membuat 'come-back'.

2. Ketua Pergerakan Wanita - Tan Sri Rafidah Aziz yang terang-terang sudah tidak diperlukan lagi oleh pucuk pimpinan di dalam kabinet. Dato Sri Sharizat yang telah dilantik sebagai Penasihat Khas kepada PM bermakna khidmatnya masih diperlukan oleh kepimpinan atasan. Mungkin juga Wanita UMNO Lipis ingin memberi peluang kepada Kak Dah untuk duduk sebagai Ketua Wanita sehingga Jun agar kak Dah dapat mencuba nasib untuk membuat 'come-back' semasa era Dato Sri Najib nanti. Sebagai Ketua Wanita sudah tentu nasibnya untuk menjadi Menteri Kabinet semula akan lebih cerah. lepas itu kalau Ijat nak ambil tompok Ketua Wanita, ambillah... rasanya semua orang-orang lama dalam UMNO dapat membaca apa yang tersirat di hati Kak Dah bak kata orang puteh, 'simple calculation - simple puzzle'

3. Ketua Pemuda UMNO - Khairy jamaluddin. Semasa pak Lah mula memegang tompok dan KJ tengah Top dahulu tiada pula desas desus menyokong KJ. Sekarang majoriti Bahagian-bahagian lain sudah berpindah sokongan kepada anak Tun, barulah bahagian Lipis hendak memilih anak menantu Pak Lah. Biasanya mengikut resmi politik cicak, kalau kepalanya dah jatuh, badannya akan ikut sama. Tinggallah ekornya yang terputus melentik-lentik tak bertuan.

4. Timbalan Ketua Bahagian Lipis - Dato Suhaimi Ibrahim. Hal ini saya tidak mahu membuat komen yang banyak kerana beliau adalah senior persekolahan saya dahulu. Tahniah kepada beliau kerana sudah separuh jalan dalam membuat 'come-back' tetapi persoalannya, apakah perlu kita membelakangkan YB-YB yang telah dipilih oleh rakyat Lipis? Katakanlah benar UMNO Lipis mahukan pembaharuan, apakah ahli-ahlinya sudah ketandusan pemimpin yang baru?

Dato' JJ? saya pun sokong juga kerana beliau orang Pahang. Ada relevannya mengapa UMNO Bahagian lipis mencalonkan beliau. Dengan keputusan pemilihan bakal-bakal pemimpin di atas memberi tanda tanya kepada saya yang jahil ini adakah UMNO Bahagian Lipis sememangnya sinonim dengan Hang jebat yang tergamak melanggar titah perintah baginda sultan dan sentiasa bersisih pendapat dengan pembesar-pembesar negeri? Atau kita terasa hebat untuk menarik perhatian pusat? Atau maklumat semasa tidak sampai ke Lipis yang masih dirasakan jauh dari kota besar? Mungkin juga UMNO Bahagian Lipis selesa dengan resmi politik kura-kura. Kalau ke Perwakilan di Kuala Lumpur nanti, cuba-cubalah bertanyakan kepada Dato' Hamid Albar tentang politik kura-kura, samada ianya menguntungkan atau merugikan. Wallahu alam...

No comments: