Thursday, November 13, 2008

RASUAH POLITIK





Anak watan ahli UMNO Bahagian Lipis, Cawangan Kemahang


Menyentuh soal politik, saya begitu tertarik dengan Pergerakan pemikiran ahli-ahli politik Bahagian Lipis Barisan Nasional khasnya, Pakatan Rakyat amnya, mahupun penduduk Lipis sendiri keseluruhannya, yang agak tercicir berbanding bahagian-bahagian lain di seluruh Malaysia. Ini mungkin disebabkan oleh warisan didikan jati Lipis yang secara tradisinya lebih mementingkan keselesaan daripada pembaharuan tidak mengira samada yang baik mahupun yang buruk. Kalaupun ada perubahan, Lipislah bahagian yang terakhir mengalami perubahan itu. Senario sebegini mengundang kebaikan dan juga keburukan. Kebaikannya, penduduk Lipis akan sentiasa berada dalam ‘comfort zone’ dan terhindar dari segala kontroversi. Keburukannya pula, seandainya ada anak watan yang telah terpengaruh dengan anasir luar dan membawanya masuk ke Lipis, kejutan kebudayaan akan cepat belaku dan Lipis tidak biasa dengan keadaan ‘alert zone’.

Ini terbukti apabila badai melanda seluruh Malaysia pada PRU10 tahun 1999 dan diikuti pula tsunami PRU12 tahun 2008, bahagian Lipis keseluruhannya termasuk semua DUN di bawah Parlimen Lipis tidak pernah berganjak dari bahtera UMNO dan Barisan Nasional sebagai parti memerintah. Alhamdulullah penduduk Lipis masih waras berfikir dan memilih pemimpin yang mampu untuk memberikan keselesaan, kebajikan dan kemajuan kepadanya. Walaupun pelahan tetapi pembangunan tetap wujud. Bak pepatah Inggeris ‘Slow and steady, and you will win the race’.

Apa yang hendak dibincangkan di sini adalah, pada hari ini anasir luar sudah mula meresap ke bahagian Lipis (sudah tentunya dari anak watan Lipis jua) dan mengundang kontroversi. Mesyuarat UMNO Bahagian Lipis yang berlangsung pada 9 November 2008 sudah tidak dilihat seperti mesyuarat-mesyuarat bahagian sebelumnya. Perhimpunan tetap berjalan dengan penuh meriah tetapi dengan ramah mesra kaunterfit, gelak ketawa hipokrit, senyuman plastik. Ianya nampak ketara akibat keselesaan yang terlalu lama terpahat dikalbu, Lipis masih belum biasa menangani kekalutan ‘alert zone’ sebegini. Persoalannya, apa sudah belaku???

Adakah Lipis sekarang sudah mula masuk ke dalam era baru di mana kepentingan diri sendiri nampaknya di berikan keutamaan yang lebih daripada kepentingan parti. Pengunaan wang dan rebutan jawatan di buat dengan wang yang banyak. Mungkinkah ini disebabkan oleh sesetengah pemimpin yang kemaruk jawatan dan menggunakan nama-nama pemimpin atasan di peringkat negeri mahupun pusat manakala sesetengah perwakilan pula mengambil kesempatan mengisi poket masing-masing. Rasuah politik bukanlah satu perkara yang mudah tanpa bukti selagi orang yang menerima tidak membuat sebarang laporan. Biasanya jarang sekali pemain bola sepak mengaku kesalahan mereka, hanya penonton sahaja yang melihat siapa yang salah dan siapa yang mengalah. Tetapi apa yang penonton boleh buat selain melepaskan geram di kedai kopi, yang kaya tetap pemain bola... dan towkey kedai kopi. Alangkah baik sekiranya setiap sudut Lipis dipasang dengan kamera litar tertutup. Perlu diingatkan bahawa penonton adalah terdiri dari akar umbi UMNO yang tulus menyokong parti, dan orang di luar UMNO.

Walaupun kita tahu bahawa mencegah itu lebih baik daripada merawat, ianya sudah tidak bermakna lagi bagi Lipis sekiranya sudah mula memasuki era baru ini. Ianya perlu dirawat bukan dicegah. Maka, adalah perlu bagi ahli UMNO bahagian Lipis menilai semula pemimpin yang dipilih.

Walaupun Lipis sukar untuk menerima perubahan atas faktor keselesaan tetapi dengan keadaan sebegini berkemungkinan juga ianya akan berubah. Janganlah sampai penduduk Lipis melihat UMNO sebagai parti pimpinan orang-orang yang berkepentingan diri semata-mata. Dari cawangan sehinggalah kepada bahagian yang diutamakan ialah jawatan dan peluang memain kuasa dan buat duit apabila memegang jawatan. Janganlah sampai amalan rasuah politik menjadi buah mulut orang ramai sehingga mereka meluat dengan UMNO, orang UMNO dan pemimpin UMNO. Janganlah sampai mereka benci dan bosan dengan UMNO sehingga mengubah haluan pada PRU13 yang akan merugikan saya, tuan, puan, mereka dan seluruh penduduk Lipis. Fikir-fikirkanlah wahai sahabat UMNO.

1 comment:

Godisuno said...

yep. Politik tidak kotor tetapi ahli-ahli politik yang menjadikannya kotor.Semangat UMNO dulu mungkin sudah terhakis. tiada lagi demi agama, bangsa dan negara. Yang tinggal hanyalah demi harta, pangkat kepentingan diri.